Faisal Halim Berada Dalam Keadaan Terbaik – Ketua Jurulatih

September 3, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Penyerang sayap skuad kebangsaan, Faisal Halim berada keadaan terbaik serta tumpuannya tidak terjejas menjelang aksi menentang Singapura pada malam esok.

Pertembungan menentang skuad negara jiran tetangga itu merupakan salah satu aksi perlawanan antarabangsa tier 1 diatur pada Jendela Perlawanan Antarabangsa FIFA bulan September bagi mempersiapkan pasukan untuk bertemu Laos dalam pusingan kelayakan Piala Asia 2027 pada Oktober kelak. 

Keadaan semasa Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey itu dikongsikan sendiri ketua jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski tatkala pemain berusia 27 tahun itu sedang mengharungi ‘kemelut’ rumah tangga bersama pasangannya.

“Daripada segi perspektif bola sepak, Mickey sememangnya berkelas dunia, gigih berlatih, bekerja keras, berdisiplin di luar padang dalam kem latihan, dia mempunyai mentaliti untuk menjadi yang terbaik dan merupakan satu inspirasi,” ujar Cklamovski.

Pada masa yang sama, Cklamovski turut memberikan bayangan Faisal berpeluang untuk diturunkan pada perlawanan malam esok di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) serta bertemu Palestin, 8hb September di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Mengulas mengenai ‘kemelut’ rumah tangga melibatkan Faisal, jurulatih dari Australia berkenaan menegaskan ianya merupakan isu peribadi melibatkan anak buah dan keluarganya.

Bagaimanapun, Cklamovski tetap memberikan sokongan peuh kepada Faisal untuk mengaharunginya.

Semalam, kecoh di pelbagai platform media sosial apabila media melaporkan isteri kepada Faisal iaitu Nur Syazwani Mizuana Shahril dikatakan memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor.

Selepas kecoh mengenai berita berkenaan, Syazwani memuat naik hantaran di Instagram Story memaklumkan keputusan yang dibuatnya bukanlah sesuatu yang mudah tetapi terpaksa dilakukan selepas pelbagai usaha sudah dilakukan untuk mempertahankan rumah tangganya.

Featured Image: Malaysia NT

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd