Richard Chin Berlatih Baik Bersama Skuad Kebangsaan
September 3, 2025 Hafizuddin Omar

Pemain tengah muda berdarah Malaysia-Seychelles, Richard Chin nampaknya dapat menyesuaikan diri dengan kem latihan skuad kebangsaan kendalian Peter Cklamovski. 

Richard yang beraksi bersama Raith Rovers FC dalam kancah bola sepak Scotland menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan buat julung kalinya yang bermula Isnin lalu.

Cklamovski memuji prestasi yang dipamerkan oleh Richard dalam dua sesi latihan namun beliau menegaskan tidak mahu meletakkan tekanan yang tinggi terhadap pemain berusia 22 tahun terbabit.

“Dia berlatih dengan baik, nampak cergas, dia (juga) kelihatan seperti sudah membina sedikit karakter untuk bermain bola sepak (gaya) kita,” katanya dalam sidang media yang berlangsung pagi tadi di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Untuk makluman, Richard menjadi pemain berketurunan Malaysia yang baharu dipanggil oleh Cklamovski menjelang perlawanan menentang Singapura dan Palestin pada 4hb dan 8hb September masing-masing.

Dia juga menjadi salah seorang daripada tujuh pemain yang beraksi di luar negara menyertai kem latihan kali ini.

Enam lagi pemain lain ialah Facundo Garces, Gabriel Palmero, Rodrigo Holgado, Dion Cools, Endrick Dos Santos dan Sergio Aguero. 

Tambah Cklamovski, beliau akan menjalankan satu lagi sesi latihan pada malam ini sebelum memuktamadkan kesebelasan utamanya bertemu Singapura bimbingan ketua jurulatih interim, Gavin Lee.

Featured Image: Malaysia NT

Komen