Perlawanan Tier 1: Malaysia Menang Tipis Bertemu Singapura
Hafiz Omar

Skuad bola sepak kebangsaan bimbingan Peter Cklamovski sekadar mengukir kemenangan tipis bertemu Singapura dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 1.
Percaturan jurulatih dari Australia itu dalam kesebelasan utamanya pada malam ini juga sedikit berlainan berbanding ketika mencatatkan kemenangan epik bertemu Vietnam pada Jun lalu.
Empat pemain iaitu Nazmi Faiz, Stuart Wilkin, Endrick dos Santos dan Haziq Nadzli diberikan kepercayaan oleh Cklamovski untuk bermula dalam kesebelasan utama.
Barisan pemain ini tidak menunggu lama untuk mengejutkan pelawat yang mendapat bimbingan sementara oleh Gavin Lee apabila Wilkin berhasil merembat masuk bola ke dalam gawang yang dikawal oleh Izwan Mahbud pada minit ke-27.
Tidak lama kemudian, Joao Figueiredo menggandakan kedudukan itu apabila menolak masuk bola hantaran lintang yang cantik daripada Wilkin pada minit ke-54.
Bagaimanapun, skuad Harimau Malaya terlepas peluang untuk meraih kemenangan tanpa sebarang bolos selepas pemain gantian, Ilhan Fandi melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti dan menerjah ke dalam gawang pada minit ke-72.
Jaringan itu menggamatkan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang dihadiri 22,329 penonton termasuk kalangan penyokong Singapura.
Selepas daripada itu, Singapura tampil lebih bersemangat untuk memburu jaringan penyamaan. Akan tetapi, usaha itu berhasil dikekang dengan persembahan baik barisan pertahanan – Dion Cools, Facundo Garces dan Jon Irazabal.
Malaysia pula sempat mendapatkan sepakan percuma di penghujung masa tambahan. Namun begitu, percubaan oleh pemain gantian, Safawi Rasid melewati palang sekaligus menyaksikan kedudukan 2-1 itu kekal sehingga pengadil, NGO Duy Lan meniup wisel menamatkan permainan.
Pada 8hb September, anak-anak buah Cklamovski akan menempuh satu lagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Palestin di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).