Umar Wakil Tunggal Malaysia Ke Kejohanan Olahraga Dunia 2025
Hafiz Omar

Pelari jarak sederhana, Umar Osman menjadi satu-satunya wakil Malaysia beraksi di Kejohanan Olahraga Dunia 2025 – dijadualkan berlangsung dari 13hb hingga 21hb September bertempat di Tokyo, Jepun.
Perkembangan itu hadir selepas nama atlet berusia 22 tahun tersebut dipilih oleh Malaysia Athletics (MA) untuk menyertai acara 400 meter (m) menerusi slot wildcard selepas tiada sebarang atlet Malaysia berhasil melayakkan diri secara merit ke Kejohanan Olaharaga Dunia 2025.
“Pemilihan beliau adalah berdasarkan pencapaian cemerlang sepanjang tahun 2025, merangkumi prestasi konsisten, kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, serta potensi besar untuk menyerlah di pentas antarabangsa.” kata Presiden MA, Dato’ Abdul Karim Ibrahim menerusi satu kenyataan media.
Atlet kelahiran Johor ini cukup dikenali sebagai pemegang Rekod Kebangsaan dalam acara 400m dengan catatan masa 46.09s – ditempanya pada usia 20 tahun ketika bertanding di Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2023, Chengdu, China.
Pada tahun ini, pencapaian terbaik Umar adalah mencatatkan masa 46.25 saat (s) dalam acara 400m ketika mengambil bahagian dalam Kejohanan Olahraga Asia di Gumi, Korea pada Mei lalu.
“Malaysia Athletics yakin penyertaan Umar akan menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, di samping menyemarakkan semangat perjuangan atlet negara di pentas dunia.” tambah Karim lagi.
Featured Image: Sukan IPT