
Jaringan tunggal oleh penyerang kelahiran Brazil berketurunan Malaysia, Joao Figueiredo memastikan skuad bola sepak kebangsaan mencetak kemenangan penuh bersejarah ke atas Palestin.
Kemenangan 1-0 itu terhasil ketika Malaysia melayan kunjungan Palestin – kini berada di ranking ke-98 dunia – dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, pada hari ini.
Figueiredo, 29 tahun, mencetak jaringan tunggal itu seawal minit ke-3 permainan setelah menerima hantaran lintang yang sempurna daripada bek kanan, Quentin Cheng.
Tiada sebarang pertambahan jaringan selepas daripada gol tersebut biarpun kedua-dua saling melancarkan serangan ke arah gawang lawan masing-masing sehingga pengadil dari Indonesia, Yudi Nurcahya meniup wisel menamatkan permainan.
Perlawanan tersebut turut dihiasi dengan pemain berdarah kacukan, Richard Chin meraih debut bersama skuad berjulukan Harimau Malaya apabila dimasukkan oleh Peter Cklamovski pada separuh masa kedua.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia berhasil menumpaskan Palestin adalah sekitar 24 tahun yang lalu.
Selepas itu, Malaysia pernah bertemu Palestin sebanyak dua kali pada tahun 2015 dalam saingan Kelayakan Piala Dunia namun keputusan berakhir dengan Harimau Malaya tumpas 0-6 dalam kedua-dua perlawanan tersebut.