Terbuka Hong Kong: Aidil Sholeh Bertemu Pemain No.2 Perancis Di Pusingan 16
Hafiz Omar

Perseorangan lelaki negara yang menduduki ranking ke-43 dunia, Aidil Sholeh meneruskan kempennya di Terbuka Hong Kong 2025 ke peringkat pusingan 16.
Kemaraan itu terhasil selepas berjaya menumbangkan pemain Chinese Taipei, Chi Yu Jen dalam pertarungan sengit yang berakhir dengan skor 15-21, 21-18 dan 21-15 dalam masa 62 minit.
Keputusan itu membawanya menemukan perseorangan lelaki No.2 Perancis, Christo Popov bagi merebut tempat ke peringkat suku akhir bagi Jelajah Dunia BWF Super 500 terbabit.
Terdahulu, Popov, diletakkan selaku pilihan keenam, berhasil mara ke peringkat yang sama selepas menewaskan wakil Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting juga menerusi tiga set permainan berskor 19-21, 21-17 dan 21-19.
Pertembungan melibatkan Aidil dan Popov menarik untuk disaksikan memandangkan kedua-duanya belum pernah bertemu dalam mana-mana kejohanan antarabangsa sehingga ke hari ini.
Untuk makluman, kempen Aidil di kejohanan ini bermula daripada peringkat kelayakan dengan mengetepikan cabaran daripada Xiaodong Sheng (Kanada) dan Heng Lin Ngan (England) sebelum melangkah ke babak undian utama.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia