Tang Jie-Ee Wei Dapat RM40,000 Tiap Seorang Menerusi SHAKAM

September 10, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Gandingan Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei yang mencipta sejarah selaku beregu campuran negara pertama merangkul gelaran juara di Kejohanan Dunia BWF menerima durian runtuh oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Ganjaran itu diberikan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) yang menyaksikan Tang Jie dan Ee Wei menerima wang tunai bernilai RM40,000 masing-masing.

MSN mengumumkan pemberian durian runtuh itu menerusi satu siaran media yang dikongsikan pada hari ini. Tambah MSN, pemberian itu sebagai pengiktirafan kepada Tang Jie dan Ee Wei susulan mengecapi kejayaan penuh bersejarah tersebut.

Tidak ketinggalan, gandingan Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan yang mara ke perlawanan akhir dalam kejohanan yang sama turut mendapat insentif wang tunai sebanyak RM20,000 masing-masing.

Pearly-Thinaah turut menempa sejarah sebagai beregu wanita negara pertama yang meraih gelaran naib juara di Kejohanan Dunia BWF.

Dalam siaran media yang sama, MSN turut mengumumkan pemberian insentif berjumlah RM480,000 kepada enam atlet wushu negara yang berjaya meraih pingat di Kejohanan Wushu Dunia di Brazil menerusi skim yang sama.

Si Shin Peng, Tan Cheong Min, Lee Jia Rong, Pang Pui Yee, Bryan Ti Kai Jie dan Clement Ting Su Wei membawa pulang lima pingat emas, satu pingat perak dan dua gangsa untuk kontinjen negara dengan Si Shin Peng – memenangi emas acara lelaki Qiangshu, acara Jianshu dan gangsa berpasukan acara Duilian – muncul penerima tertinggi dengan jumlah RM166,666.66

Tan Cheong Min yang mengungguli pingat emas acara wanita Nangun, emas berpasukan acara Duilian dan pingat perak individu acara Nandao menerima RM146,666.66.

Lee Jia Rong menerima RM126,666.66 hasil emas wanita individu Daoshu, emas berpasukan Duilian dan pingat gangsa acara individu Gunshu. Pang Pui Yee menerima RM26,666.66 hasil emas wanita berpasukan Duilian manakala Bryan Ti Kai Jie dan Clement Ting Su Wei masing-masing menerima RM6,666.66 menerusi gangsa berpasukan Duilian.

Insentif emas individu berjumlah RM80,000.00, perak RM40,000 dan gangsa RM20,000.00 adalah kerana Kejohanan Wushu Dunia ini dilangsungkan setiap dua tahun. Jumlah insentif sama diberikan dalam acara berpasukan yang dianggotai tidak lebih empat atlet.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd