Terbuka Hong Kong: Hong Jian-Haikal, Arif-Roy King Rebut Tiket Suku Akhir
Hafiz Omar

Saingan Terbuka Hong Kong 2025 nampaknya menyajikan pertembungan dua beregu lelaki Malaysia melibatkan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal dan Arif Junaidi-Yap Roy King untuk merebut tiket ke peringkat suku akhir.
Pertembungan di pusingan 16 itu terhasil apabila kedua-duanya mencetak kemenangan ke atas lawan masing-masing ketika turun beraksi di pusingan 32.
Hon Jian-Haikal yang berada di ranking ke-46 dunia mara selepas menjinakkan beregu berpengalaman Republik Korea, Kim Gi Jung dan Kim Sa Rang menerusi tiga set permainan berskor 21-11, 16-21 dan 21-18.
Sementara itu, Arif-Roy King yang muncul juara Terbuka Macau 2025 pada awal Ogos lalu mara dengan bergaya mengejutkan bekas beregu lelaki No.1 dunia dari Denmark, Kim Astrup dan Anders Skaarup Rasmussen secara “straight set” menerusi skor 21-19 dan 23-21.
Menariknya, pertembungan ini akan menemukan semula Arif dan Haikal yang pernah bergandingan bersama suatu ketika dahulu dengan julukan “Patatimo Boys”.
Pertemuan pada hari Khamis bakal menjadi yang kedua di pentas antarabangsa melibatkan Hon Jian-Haikal dan Arif-Roy King selepas bertemu di Terbuka Macau, baru-baru ini.
Pada pertemuan itu, Arif-Roy King melakar kemenangan secara dua set berturut-turut menerusi skor 21-13 dan 21-15 dalam masa 34 minit pada peringkat separuh akhir.
Featured Image: BAM