FAM Sambut Ulang Tahun Ke-99 Hari Ini
Hafiz Omar

Badan induk bola sepak tanah air, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) genap usianya 99 tahun pada hari ini (9hb September 2025).
Pada asalnya, badan induk itu ditubuhkan sebagai Malayan Football Association (MFA) pada 11hb September 1926 dalam satu persidangan yang berlangsung di Padang Kelab Selangor.
Lima persatuan negeri yang terdiri daripada Selangor, Perak, Melaka, Negeri Sembilan dan Singapura menjadi pengasas MFA selepas kelompok pemimpin negeri berkenaan memikirkan satu badan pengawal selia aktiviti bola sepak di Persekutuan Tanah Melayu perlu diwujudkan.
Mereka menganggap satu badan induk diperlukan untuk mengawal selia aktiviti domestik dan antarabangsa memandangkan jawatankuasa penganjuran Piala HMS Malaya (kini dikenali sebagai Piala Malaysia) yang diperkenalkan pada 1921 hanya bertanggungjawab terhadap saingan itu.
Akhirnya ahli jawatankuasa itu memutuskan untuk mewujudkan MFA ketika bersidang di Singapura pada 1925.
Presiden pertama MFA ialah John Middleton Sime, seorang akauntan berbangsa Scotland yang juga keluarga pengasas konglomerat Sime Darby. Beliau dipilih pada 11 September 1926, tarikh tertubuhnya MFA dan ia menjadi titik mula pengkisahan badan induk bola sepak negara yang genap berusia 99 tahun pada hari ini.
Seterusnya pada 1932, MFA telah ditukar namanya kepada Football Association of Malaya (FAM) dengan Sir Andrew Caldecott dilantik sebagai presiden, manakala setiausaha Singapura FA (SAFA) W.W Dean menjadi setiausaha kehormat.
Presiden FAM bersilih ganti disebabkan pemilihan dibuat setiap tahun setiap kali Piala HMS Malaya dianjurkan. Pegawai kerajaan British, J.J. Sheehan, dipilih pada 1936, diikuti Dr J.A. Webster pada 1937 dan Adrian Clarke pada 1939 sebelum ibu pejabat FAM dipindahkan ke Kuala Lumpur dari Singapura pada 1940 apabila A.R. Singam menjadi orang bukan Eropah untuk memegang jawatan setiausaha kehormat.
Seterusnya jawatan presiden pasca perang dunia kedua diisi pula oleh J.E. King pada 1947 apabila FAM dihidupkan semula selepas perang. Ketua Pegawai Kebajikan Tanah Melayu, C.P Rawson menjadi presiden pada 1950.
Pada 1951, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, menjadi warga tempatan pertama menerajui FAM dan seterusnya menjadi pendukung utama dalam pembentukan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada 1954.
Pada 1961, ibu pejabat FAM setinggi tujuh tingkat di Birch Road (kini Jalan Maharajalela) di Kuala Lumpur dibina dengan kos RM317,000 dan dirasmikan pada 7 Disember oleh Tunku Abdul Rahman merangkap Perdana Menteri Malaysia yang pertama.

Sejajar penubuhan negara Malaysia, FAM telah dinamakan semula sebagai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) secara rasmi pada 1964.
Era 1970-an menjadi saksi kegemilangan pasukan bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya dengan Malaysia layak ke Sukan Olimpik di Munich 1972, memenangi pingat gangsa Sukan Asia 1974, layak ke pusingan akhir Piala Asia AFC 1976 dan layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 tetapi Kerajaan Malaysia memulau temasya itu. Malaysia turut layak ke Piala Asia AFC 1980.
Pada 1979, FAM berpindah ke bangunan baharu Wisma FAM berharga RM1.87 juta di Sungai Way-Subang yang kini dikenali sebagai Kelana Jaya, manakala setiausaha kehormat, Dato’ Kwok Kin Keng melepaskan jawatan yang dipegang sejak 1952 akibat masalah kesihatan.
Seterusnya pada 1984, Almarhum Sultan Ahmad Shah dipilih sebagai Presiden FAM, Tan Sri Hamzah kembali sebagai naib presiden. Pasukan pelapis yang diberi nama Harimau diwujudkan pada 1983 dan Kevin Keegan membuat penampilan sebagai jurulatih Harimau pada Pestabola Merdeka 1984.
Bermula 1989, Liga semi-pro telah dilancarkan pada 5 Mei dengan disertai sembilan pasukan – Pahang, Selangor, Singapura, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah, Sarawak, Kelantan dan Johor dalam Divisyen Satu manakala lapan pasukan – Melaka, Angkatan Tentera, Negeri Sembilan, Perlis, Perak, Terengganu, Brunei dan Sabah dalam Divisyen Dua.
Liga Semi-Pro kemudian bertukar status kepada liga profesional pada 1994 dan era 1990-an itu pada penghujungnya menyaksikan FAM menjadi tuan rumah Piala Dunia Remaja FIFA 1997.
Era milenium bermula dengan Dato’ Dell Akbar Hyder Khan menjadi bekas pemain antarabangsa pertama yang dilantik sebagai setiausaha agung apabila menggantikan Dato’ Paul Mony Samuel pada 2000, disusuli pengenalan Liga Super, peringkat tertinggi pertandingan domestik yang dilancarkan pada 2004 dan FAM antara empat negara hos yang menganjurkan Piala Asia AFC 2007.
Peralihan tampuk kepimpinan FAM bermula pada 2014 apabila Almarhum Sultan Ahmad Shah melepaskan jawatan presiden selepas 30 tahun di tampuk pemerintahan dan anakandanya, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dipilih sebagai presiden disusuli pada 2017, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pula dipilih sebagai presiden.
Sejarah tercipta buat FAM pada 2018 apabila Tan Sri Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin dipilih sebagai presiden pertama dalam kalangan rakyat marhaen untuk menerajui FAM selama dua penggal sehingga Februari 2025.
Dalam tempoh berkenaan, Peta Hala Tuju FAM, F:30 dilancarkan oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino pada 2018, selain skuad Harimau Malaya berjaya mencipta sejarah layak ke Piala Asia selepas tempoh 43 tahun apabila beraksi di pentas Piala Asia 2023 di Doha, Qatar pada Januari 2024.
Seterusnya, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub dipilih sebagai Presiden FAM kelapan sejak 1951 dan presiden kedua dalam kalangan rakyat marhaen selepas Tan Sri Dato’ Haji Hamidin pada 15 Februari 2025.
Namun Datuk Mohd Joehari telah meletak jawatan selepas enam bulan dan Jawatankuasa Eksekutif FAM pada mesyuarat khas kedua penggal 2025-2029 pada 27 Ogos 2025 telah menamakan Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Haji Mahadi sebagai Pemangku Presiden FAM sehingga kongres tahunan 2026.
Featured Image: FAM