Kelab Liga Super Malaysia & Liga Super Indonesia Bincang Potensi Kerjasama
Hafiz Omar

Satu kerjasama strategik bakal dijalin oleh Terengganu FC dan Persija Jakarta yang beraksi dalam kancah Liga Super Malaysia dan Liga Super Indonesia masing-masing selepas kedua-dua pihak pengurusannya bertemu di Jakarta pada Selasa.
Dimaklumkan pertemuan itu membincangkan pelbagai aspak pembangunan bola sepak serta potensi kolaborasi antara kedua-dua kelab, termasuk pembangunan bakat pemain muda, program pertukaran kepakaran kejurulatihan, penganjuran perlawanan persahabatan antarabangsa serta peluang komersil yang dapat memberi manfaat bersama.
Dalam pertemuan itu, barisan pengurusan Terengganu FC diketuia oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al Bajrai bersama Ketua Pegawai Operasi (COO), Mohd Syahrizan Mohd Zain sementara Persija Jakarta pula diwakili sendiri oleh Presiden, M. Prapanca dan Pengarah Sukan, Bambang Pamungkas.

“Perjumpaan ini bukan sahaja membina jambatan bola sepak antara Malaysia dan Indonesia yang mampu memberi impak besar kepada pembangunan bola sepak serantau tetapi juga menambah nilai komersil kelab.” kata Sheikh Farouk sambil melabelkan usaha ini sebagai lembaran baru dalam bola sepak tempatan.
Sementara itu, presiden kelab berjulukan Macan Kemayoran menyatakan kegembiraanya dengan pertemuan ini dan mengharapkan satu kerjasama dapat dimeterai dengan segera pada masa akan datang.
“Kami sangat menghargai pertemuan ini. Ia bakal membuka ruang yang lebih luas untuk pertukaran pengalaman, memajukan bakat muda dan menyatukan komuniti bola sepak ASEAN di masa akan datang” ujar M. Prapanca.
Terengganu FC percaya pertemuan ini akan menjadi landasan kukuh dalam memperluaskan jaringan antarabangsa kelab selain mengukuhkan lagi hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia melalui sukan bola sepak.