Masters China: Jun Hao Singkir Bekas Pemain No.2 Dunia
Hafiz Omar

Perseorangan badminton lelaki No.1 negara, Leong Jun Hao berhasil memulakan kempen Masters China 2025 dengan langkah kanan dengan menyingkirkan Anthony Sinisuka Ginting pada pusingan 32, sebentar tadi.
Pertemuan kali keempat melibatkan kedua-dua pemain itu menyaksikan Jun Hao terlebih dahulu mencatatkan kemenangan pada set pertama menerusi skor 21-19.
Ianya diikuti dengan Ginting bangkit pada set kedua mencetak kemenangan menerusi skor 21-5 sekaligus mengheret permainan ke set penentuan.
Bagaimanapun, kemenangan pada pertemuan ini tetap tidak berpihak kepada Ginting apabila Jun Hao bangkit semula pada set ketiga – menamatkan permainan melalui skor 21-10.
Keputusan itu sekaligus menyingkirkan Ginting daripada Jelajah Dunia BWF Super 750 selain memastikan kemaraan ke peringkat pusingan 16 buat Jun Hao.
Pada masa yang sama, kemenangan pada hari ini juga menjadikan rekod pertemuan Jun Hao dan bekas pemain No.2 dunia itu seimbang dengan dua kemenangan masing-masing daripada empat pertemuan di pentas antarabangsa.
Di peringkat seterusnya, Jun Hao akan berhadapan dengan pemain tuan rumah yang diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan, Li Shi Feng.
Pemain berusia 25 tahun itu mara selepas menundukkan pemain seorang lagi wakil Indonesia, Alwi Farhan dengan kemenangan mudah secara dua set berturut-turut iaitu 21-16 dan 21-9.
Berdasarkan kepada rekod, Shi Feng merupakan salah satu pemain yang sukar dijinakkan oleh Jun Hao.
Daripada tujuh pertemuan yang telah berlangsung sebelum ini, Jun Hao hanya melakar satu kemenangan dan selebihnya dimenangi oleh Shi Feng.
Featured Image: BAC