Masters China: Zii Jia Henti Permainan Ketika Ketinggalan Di Set Ketiga
Hafiz Omar

Perjalanan bekas perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia di Masters China 2025 menemui titik noktahnya pada pusingan 32.
Pemain berusia 27 tahun itu memulakan aksi bertemu Lin Chun Yi di pusingan tersebut dengan baik – mencatatkan kemenangan menerusi skor 21-17 pada set pertama.
Set kedua berlangsung sengit dan ianya berhasil dimenangi oleh Chun Yi yang berada di ranking ke-15 dunia menerusi skor 23-21.
Ianya memaksa pertarungan dilanjutkan ke set ketiga bagi mencari pemenang untuk melangkah ke pusingan 16 bagi Jelajah Dunia BWF Super 750 terbabit.
Bagaimanapun, di set ketiga, ketika Zii Jia ketinggalan 6-14, pemain kelahiran Kedah itu berjalan ke arah umpire dan bercakap sesuatu kepadanya sebelum ke bangku yang berada di tepi gelanggang.
Tidak lama kemudian, doktor kejohanan datang menemui Zii Jia dan berbicara pendek dengannya. Selepasi itu, doktor itu memaklumakn kepada umpire bahawa Zii Jia tidak dapat meneruskan permain sambil memberikan isyarat menyilangkan tangannya.
Isyarat itu pantas difahami oleh umpire dan beliau dengan lekasnya mengangkat tangan kanan dan memaklumkan permainan tamat sekaligus memberikan kemenangan kepada Chun Yi dan mara ke pusingan 16.
Susulan keputusan itu juga, Zii Jia dan Chun Yi kini terikat dua kemenangan masing-masing daripada empat pertemuan di kejohanan antarabangsa.
Sebagai rekod, ini merupakan kejohanan ketiga yang disertai oleh Zii Jia selepas pulih daripada kecederaan buku lali pada kaki kirinya.
Featured Image: Olympic Council of Malaysia