Masters China: Bekas Beregu No.1 Dunia Singkir Arif-Roy King
Hafiz Omar

Beregu lelaki No.4 tanah air, Wan Arif Junaidi dan Yap Roy King terpaksa akur beraksi satu perlawanan sahaja dalam saingan Masters China 2025.
Ianya gara-gara beregu terbabit gagal menjinakkan bekas beregu lelaki No.1 dunia, Satwiksairaj Rankireddy dan Chirag Shetty di peringkat pusingan 32, sebentar tadi.
Ini juga menjadi perlawanan ulangan Terbuka Hong Kong 2025 pada minggu lalu dimana kedua-duanya bertemu di peringkat suku akhir – turut dimenangi oleh Satwiksairaj-Chirag.
Perlawanan pada hari ini menyaksikan Arif-Roy King tewas secara dua set berturut-turut menerusi skor 22-24 dan 13-21. Sebagai perbandingan, Arif-Roy King tewas menerusi skor 14-21, 22-20 dan 16-21 pada Jumaat lalu.
Sementara itu, Satwiksairaj-Chirag yang merekodkan kemenangan melangkah ke pusingan 16 dan bertemu dengan gandingan Chiu Hsiang Chieh dan Wang Chi-Lin.
Gandingan Chinese Taipei itu mara selepas menumbangkan sepasang lagi beregu Malaysia, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi.
Featured Image: BAM