Masters China: Sze Fei-Izzuddin Melangkah Ke Suku Akhir
Hafiz Omar

Pilihan ketiga kejohanan, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin nampaknya tidak berhadapan masalah untuk menempatkan diri di peringkat suku akhir Masters China 2025.
Beregu lelaki No.2 negara itu berhasil mengesahkan kemaraan selepas menumpaskan gandingan dari Chinese Taipei, Lee Jhe-Huei dan Yang Po-Hsuan pada pusingan 16, sebentar tadi.
Sze Fei-Izzuddin mencetak kemenangan dua set berturut-turut menerusi skor 21-16 dan 22-20 dalam masa 35 minit sekaligus melebarkan rekod pertemuan kepada empat kemenangan daripada enam pertembungan bertemu pasangan itu.
Pada masa yang sama, kemenangan ini menjadi episod balas dendam terhadap kekalahan bertemu beregu yang sama ketika di pusingan 16 Kejohanan Dunia BWF, sekitar tiga minggu lalu.
Peringkat seterusnya, Sze Fei-Izzuddin akan menantikan cabaran samada daripada beregu tuan rumah, Liang Wei Keng-Wang Chang atau pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri untuk merebut tiket separuh akhir bagi Jelajah Dunia BWF Super 750 ini.
Featured Image: BAM