ACL2: Selangor FC Kalah, Bolos 4 Gol, Kutip Kad Merah

September 18, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kelab berpangkalan di Lembah Klang, Selangor FC memulakan kempen Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) 2025-26 peringkat Kumpulan G dengan langkah kiri apabila dibedal oleh Bangkok United FC dari Thailand dengan keputusan 2-4.

Kekalahan skuad berjulukan Gergasi Merah itu bermula dengan bolos tiga gol dalam tempoh 24 minit di babak pertama menerusi jaringan berganda oleh Ilias Alhaft (11’, 24’) dan satu gol daripada Muhsen Al-Ghassani (15’).

Anak-anak buah Katsuhito Kinoshi sempat menjaringkan satu gol pada babak pertama menerusi penyerangnya, Chrigor Moraes (23’). 

Tidak cukup dengan ketinggalan 1-3, satu lagi kecelakaan menimpa Selangor FC apabila pertahannya, Harith Haiqal dilayangkan kad merah oleh pengadil sekaligus memaksa mereka beraksi dengan sepuluh pemain bermula minit ke-39.

Pada separuh masa kedua, Selangor FC yang beraksi di laman sendiri, Stadium MBPJ sambil disaksikan tidak sampai 4,000 orang penonton berhasil merapatkan jurang kepada 2-3 menerusi jaringan oleh pemain gantiannya, Izwan Yuslan (73’).

Bagaimanapun, jurang itu kembali dijarakkan oleh Bangkok United FC kepada 2-4 apabila Philipe Maia (84’) berjaya memasukkan bola ke dalam gawang yang dikawal oleh Kalamullah Al Hafiz.

Kedudukan itu kekal sehingga pengadil perlawanan dari Iran, Mooud Bonyadidard meniup wisel menamatkan permainan selepas diberikan tambahan masa selama lima minit.

Sebagai tambahan, Selangor FC akan menyambung saingan ACL2 peringkat Kumpulan G bertemu Lions City Sailors FC di tempat lawan pada 1hb Oktober kelak.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd