MFL Gantung Sri Pahang FC, Kedah Darul Aman FC & Perak FC
Hafiz Omar

Badan penganjur saingan bola sepak domestik, Malaysian Football League (MFL) mengumumkan mengenakan hukuman penggantungan serta denda kepada Sri Pahang FC, Kedah Darul Aman FC dan Perak FC.
Menerusi satu kenyataan media yang disiarkan pada hari ini, ketiga-tiga kelab berkenaan digantung susulan penarikan diri dan gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan bagi musim 2025-2026.
“Berdasarkan Perlembagaan MFL, mana-mana kelab yang menarik diri daripada Liga Malaysia tidak akan menerima sebarang manfaat daripada MFL serta larangan daripada aktiviti bola sepak sebagai sekatan ke atas Rakan Kongsi apabila memutuskan status penyingkiran Kelab Rakan Kongsi dan pengurusan Kelab Rakan Kongsi tersebut.” tulis kenyataan oleh MFL.
Hukuman itu menyaksikan Sri Pahang FC yang telah menarik diri digantung daripada menyertai semua pertandingan anjuran MFL selama semusim berkuat kuasa bermula musim 2025-2026.
Sementara itu, Kedah Darul Aman FC dan Perak yang gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan bagi musim 2025-2026 pula digantung daripada menyertai semua pertandingan anjuran MFL selama dua musim berkuat kuasa bermula musim 2025-2026 sehingga 2026–2027.
Tidak sekadar hukuman penggantungan, MFL memaklumkan ketiga-tiga kelab berkenaan turut dikenakan denda hilang hak ke atas wang agihan secara merit setelah berakhirnya Liga Malaysia 2024-2025.
Featured Image: Sri Pahang FC