Masters China: Sze Fei-Izzuddin Kandas Di Suku Akhir

September 19, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Beregu lelaki No.2 negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin nampak tidak dapat menjejakkan kaki ke peringkat separuh akhir Masters China 2025 – Jelajah Dunia BWF Super 750.

Ianya susulan Sze Fei-Izzuddin disingkirkan oleh pasangan No.1 Indonesia, Fajar Alfian dan Muhammad Rian Ardianto ketika bertembung di peringkat suku akhir, sebentar tadi.

Pertarungan itu dimenangi oleh Fajar-Rian dua set berturut-turut menerusi skor 21-16 dan 21-11 dalam tempoh masa sekitar setengah jam.

Menariknya, ini merupakan kemenangan pertama dicatatkan oleh Fajar-Rian selepas tewas dalam tiga pertemuan terakhir bertemu Sze Fei-Izzuddin – Jelajah Dunia Akhir BWF 2024, Terbuka Artik 2024 dan Terbuka Jepun 2024.

Pada masa yang sama, ini merupakan kejohanan keempat yang menyaksikan Sze Fei-Izzuddin gagal mara ke peringkat separuh akhir selepas muncul naib juara Terbuka Jepun 2025 sekitar pertengahan Julai lalu.

Sementara itu, Fajar-Rian yang melakar kemaraan ke peringkat separuh akhir akan menantikan cabaran samada daripada pilihan pertama kejohanan, Kim Won Ho dan Seo Seung Jae atau beregu Jepun, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd