Kejohanan Olahraga Dunia: Pelari 400m Wanita Amerika Pecah Rekod 42 Tahun
Hafiz Omar

Pelari wanita Amerika Syarikat, Sydney McLaughlin-Levrone mencipta sensasi di Kejohanan Olahraga Dunia 2025 apabila menamatkan perlumbaan akhir acara 400 meter (m) dalam tempoh 47.78 saat (s).
Catatan masa itu bukan sahaja memastikan atlet berusia 26 tahun itu menjadi yang pertama melintasi garisan penamat dan menobatkannya sebagai juara dunia bahkan turut meleburkan rekod kejohanan yang berusia 42 tahun.
Ianya mengatasi rekod kejohanan terdahulu, 47.99s, yang dihasilkan oleh pelari Czechoslovakia, Jarmila Kratochvilova ketika beraksi di Kejohanan Dunia 1983.
Namun begitu, larian sepantas 47.78s itu belum dapat meleburkan rekod dunia. Ia sekadar meletakkan Sydney sebagai pelari wanita kedua terpantas dalam sejarah bagi acara berkenaan.
Untuk makluman, rekod dunia bagi acara berkenaan masih dipegang oleh atlet Jerman Timur iaitu Marita Koch yang menamatkan larian 400m dalam masa 47.60s ketika mengambil bahagian dalam kejohanan yang berlangsung di Australia.
Featured Image: World Athletics