Bergson Kini Penjaring Terbanyak Liga Super Sepanjang Zaman

September 22, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Penyerang prolifik Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Gustavo Silveira Da Silva memahat sejarah baharu dalam arena bola sepak tempatan susulan mencetak hatrik ketika bertemu Sabah FC, pada Ahad.

Jaringan yang dijelmakannya pada minit 61, 74 dan 90+2 masing-masing itu membolehkannya mengumpul 109 gol dalam kancah Liga Super Malaysia sekaligus memahat namanya selaku Penjaring Gol Terbanyak Liga Super Sepanjang Zaman.

109 gol itu dicetak pemain berusia 34 tahun berkenaan bersama skuad berjulukan Harimau Selatan sejak musim 2021 memintas rekod 106 gol yang dihasilkan oleh pemain legenda tempatan, Indra Putra Mahayuddin.

Untuk makluman, jaringan hatrik yang turut disaksikan oleh 12,840 penonton yang hadir ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI) itu turut membantu JDT bimbingan Xisco Munoz berpesta gol dengan melakar kemenangan 8-0 ke atas Sabah FC.

Pada masa yang sama, kemenangan itu mengukuhkan lagi kedudukan JDT di puncak liga selepas mengharungi enam perlawanan tatkala pencabar terdekatnya, Selangor FC keciciran mata selepas tewas tipis 0-1 di tangan Kuching City FC.

Sebagai tambahan, Bergson menjadi salah satu nama yang dicadangkan oleh Pemangku Sultan merangkap pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail untuk dinaturalisasikan sebagai pelan jangka masa pendek buat skuad kebangsaan – Harimau Malaya.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd