Pau Marti Kembali Ke Pangkuan Barcelona
Hafiz Omar

Bekas ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan berjulukan Harimau Malaya, Pau Marti Vicente menyertai semula kelab lamanya, FC Barcelona.
Bagaimanapun, penyertaan semula jurulatih berusia 41 tahun terbabit bersama kelab berpangkalan di Catalonia itu dengan peranan yang sedikit berbeza iaitu Pengarah Akademik bersama Barcelona Innovation Hub – sayap inovasi, penyelidikan, pengetahuan dan pendidikan bagi FC Barcelona.
“Saya sangat teruja untuk memulakan babak baharu di FC Barcelona, pada saat ini sebagai Pengarah Akademik Barca Innovation Hub.”
“Saya menyertainya dengan niat untuk menyumbang pengalaman, membantu membangunkan program pendidikan terbaik dan membawa cara kita bekerja lebih hampir kepada dunia,” katanya sambil memuat naik foto di pelbagai platform media sosialnya.
Sebelum tiba di bumi Malaysia, Pau Marti pernah menjadi penolong jurulatih di skuad Barcelona B selain melatih pelbagai lapisan skuad remaja bagi kelab gergasi Sepanyol itu.
Sebagai rekod, Pau Marti datang ke Malaysia selepas dipilih untuk menyertai barisan kejurulatihan Malaysia bimbingan Kim Pan-gon pada tahun 2022.
Sekitar pertengahan Jun 2024, selepas Pan-gon meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan, Pau Marti dipilih oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengemudi secara sementara Harimau Malaya sehingga ke penghujung tahun.