Bruno Fernandes Cetak 100 Gol Bersama Man Utd
Hafiz Omar

Kapten Manchester United (Man Utd) kelahiran Portugal, Bruno Fernandes melakar sejarah tersendiri ketika membantu kelabnya menumbangkan Chelsea di Old Trafford, pada Ahad.
Perlawanan itu bukan sahaja menyaksikannya turun buat kali ke-200 bersama Manchester United dalam kancah Premier League (PL) bahkan turut mencetak gol ke-100 buat skuad berjulukan Red Devils apabila menyumbat masuk bola pada minit ke-14.
Jaringan itu terhasil susulan Fernandes menendang masuk bola ke setelah ditanduk oleh Patrick Dorgu dalam gawang yang dikawal oleh Filip Jorgensen untuk meletakkan Man Utd mendahului 1-0.
Sebelum berakhirnya babak pertama, Man Utd bimbingan Ruben Amorim meledak sekali lagi menerusi Casemiro setelah menerima bantuan gol daripada Harry Maguire menjadikan kedudukan semasa 2-0.
Anak-anak buah Enzo Maresca sempat membawa pulang gol saguhati apabila Trevoh Chalobah mencipta jaringan menerusi tandukan di udara pada minit 80.
Dalam perlawanan tersebut, Fernandes beraksi sehingga minit 87 sebelum dikeluarkan oleh Amorim dan digantikan dengan Kobbie Mainoo.
Sebagai rekod, Fernandes menjadi pemain ke-23 dalam sejarah yang mencetak 100 gol bersama Man Utd daripada pelbagai pertandingan. Fernandes merekodkan pencapaian terbabit selain menjadi nadi utama pasukan setelah lima tahun dan lapan bulan menyarung jersi Man Utd.