
Pemain berdarah kacukan Malaysia-Mesir, Amir Abada Tawfik berjaya meraih debut dalam saingan Liga Super Brunei apabila diturunkan kelabnya, Indera SC ketika bertemu Jerudong FC, pada Jumaat lalu.
Bertambah bermakna, bekas pemain skuad Piala MFL, Sabah FC II mewarnai debut itu dengan aksi yang cemerlang – menjaringkan satu gol dan mencetak dua bantuan gol sekaligus membantu Indera SC mencatatkan kemenangan 3-0.
Meskipun bermula cemerlang, pemain berusia 22 tahun itu tidak mudah mendabik dada bahkan memasang tekad untuk menampilkan prestasi yang konsisten selain membantu Indera SC mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Syukur untuk debut dengan satu gol dan dua ‘assist’, permulaan baik untuk saya. Musim ni fokus saya untuk konsisten dan bantu pasukan untuk capai sasaran.”
“Saya menganggap ianya sebagai rezeki sekiranya saya menjadi ‘top scorer’ atau ‘top assist’ dan berterima kasih kepada jurulatih Raja Isa yang banyak bagi kepercayaan dan tunjuk ajar.”
“Impian saya tetap hendak mewakili Malaysia satu hari nanti, dan kalau ada peluang main di luar negara, itu juga cita-cita dan impian saya,” katanya.
Sebagai rekod, Amir, dipancing khidmatnya oleh ketua jurulatih Indera SC dari Malaysia, Raja Isa Raja Akram Shah dan menyertai kelab berkenaan sekitar awal September, baru-baru ini.
Persembahan dan prestasi Amir mendapat pujian daripada Raja Isa sambil menekankan agar Amir terus fokus untuk menghadapi musim yang masih panjang.
Pada masa yang sama, jurulatih berpengalaman itu mahu melihat filosofi bola sepak yang diterapkan mampu diterjemahkan oleh para pemain. Beliau memasang impian besar untuk membawa Indera SC muncul juara dan bermain di kejohanan peringkat benua asia, musim hadapan.
“Harapan saya adalah para pemain dapat menyerap struktur dan filosofi pasukan yang saya bentuk sejak Mei 2025.”
“Impian saya mahu melihat Indera SC muncul juara musim ini dan kembali beraksi di peringkat Asia untuk musim 2026-2027.”
“Lebih membanggakan semenjak saya menjadi ketua jurulatih, saya telah berjaya membawa pasukan ini ke peringkat akhir Piala FA dan 9 pemain saya dapat bermain dengan skuad Brunei Bawah 23 serta empat pemain senior dipanggil ke skuad kebangsaan Brunei,” jelasnya.
Untuk makluman, Liga Super Brunei membuka tirainya pada 19 September lalu. Ianya melibatkan 12 pasukan dan hasil kemenangan pada Jumaat, Indera SC dapat menduduki tangga kedua dengan kutipan tiga mata.