Cheah Liek Hou Dapat Ganjaran Tambahan RM35,000 Daripada 99 Speedmart

September 23, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Pemenang pingat emas Paralimpik 2024 dalam acara badminton perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal), Cheah Liek Hou menerima ganjaran tambahan sebanyak RM35,000 daripada rangkaian pasaraya mini, 99 Speedmart.

Penyerahan itu dilakukan dengan 99 Speedmart tampil sebagai penaja khas dan jumlah amaun itu diserahkan secara tunai kepada Liek Hou. Satu majlis penyerahan ganjaran tambahan turut berlangsung di Menara KBS, pada tengah hari tadi sambil disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh.

Selain Liek Hou, ganjaran itu juga diberikan kepada Bonnie Bunyau Gustin (pingat emas, powerlifting); Datuk Abdul Latif Romly (pingat perak, lompat jauh T20); Ziyad Zolkefli (pingat perak, lontar peluru F20) dan Eddy Bernard (pingat gangsa, 100m T44).

Untuk makluman, pemenang pingat perak dan gangsa menerima ganjaran tambahan sebanyak RM15,000 dan RM7,000 masing-masing. Secara keseluruhan, 99 Speedmart menyumbang sebanyak RM107,000 secara keseluruhan bagi meraikan pencapaian atlet-atlet paralimpik terbabit.

Ganjaran ini diserahkan selepas berlakunya polemik membabitkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) bersama Cheah Liek Hou susulan perbezaan tafsiran berhubung ganjaran kemenangan pingat emas Sukan Paralimpik Paris 2024.

Featured Image: KBS Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd