Terbuka Korea: Pang Ron-Su Yin Kandas
Hafiz Omar

Beregu campuran No.3 negara, Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yin terpaksa akur beraksi satu perlawanan sahaja di Terbuka Korea 2025 selepas terkandas di pusingan 32, pada hari ini.
Langkah pasangan berusia 27 dan 22 tahun masing-masing itu terhenti susulan tewas di tangan beregu Thailand yang berada di ranking ke-14 dunia, Ruttanapak Oupthong dan Jhenicha Sudjaipraparat.
Dalam pertemuan itu, Pang Ron-Su Yin meraih kemenangan pada set pertama, 23-21. Namun begitu, mereka gagal menjinakkan Ruttanapak-Jhenicha pada set kedua, 17-21, diikuti pada set ketiga, 19-21, sekaligus menghanguskan tiket kemaraan ke pusingan 16.
Sementara itu, Ruttanapak-Jhenicha yang melakar kemaraan akan bertembung dengan wakil China yang diletakkan selaku pilihan keempat kejohanan, Guo Xin Wa dan Chen Fang Hui.
Pada masa yang sama, kekalahan Pang Ron-Su Yin ini menyaksikan hanya dua beregu campuran negara iaitu Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai dan Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien dapat meneruskan kempen bagi Jelajah Dunia BWF Super 500 ini ke peringkat seterusnya.
Featured Image: BAM