Skechers Friendship Walk Sumbang RM10,000 Bagi Tujuan Kanser
Hafiz Omar

Acara Skechers Friendship Walk yang berlangsung pada Ahad di Pusat Konvensyen Setia City melibatkan 8,000 pelari dan pejalan kaki turut menyaksikan pemberian sumbangan sebanyak RM10,000 bagi tujuan berkaitan kanser.
Sumbangan itu disampaikan kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) – sebuah pertubuhan bukan untung (NPO) yang menumpukan kepada pendidikan, penjagaan dan sokongan kepada individu-individu yang terkesan dengan kanser.
Ianya diberikan bagi memperkasakan NCSM dengan misinya untuk membina pemahaman, menggalakkan pencegahan dan pengesanan awal dan memberikan sokongan penting kepada yang terkesan oleh kanser.

“Kami amat berbesar hati membawa Skechers Friendship Walk 2025 ke Oval Lawn, Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam buat pertama kalinya. Sangat menginspirasikan melihat lebih 8,000 peserta berkumpul seawal pagi, bukan sahaja untuk mengamalkan gaya hidup aktif dan mengeratkan hubungan dengan orang tersayang, malah turut menyokong perjuangan yang dekat di hati kami,” kata Eileen Tan, Pengarah Pemasaran Serantau Skechers Asia Tenggara.
“Terima kasih kepada semua atas sokongan anda, kami dapat memberikan sumbangan bermakna dengan menyumbangkan RM10,000 bagi menyokong usaha NCSM meningkatkan kesedaran serta menyediakan penjagaan untuk keluarga yang terkesan dengan kanser.”
“Dengan setiap langkah yang anda ambil pagi ini, anda membantu membawa harapan, meningkatkan kesedaran, dan menyokong keluarga yang terkesan dengan kanser,” tambahnya.
Penyampaian cek cura (mock cheque) cek cura bernilai RM10,000 itu diserahkan kepada Penolong Pengarah Perubatan NCSM, Dr. Rutresh oleh Pengurus Kewangan Kanan Skechers Malaysia, Mellissa Moo Yong.

Untuk makluman, Skechers Friendship Walk itu terbahagia kepada dua kategori iaitu larian kompetitif berjarak 10km dan larian santai 5km yang dilepaskan pada pukul 7.00 pagi dan 7.30 pagi masing-masing.
Sanjay Manimaran muncul juara bagi kategori 10km lelaki apabila muncul yang pertama melepasi garisan penamat dengan catatan masa 32 minit dan 55 saat. Turut sama menaiki podium ialah Santhosh a/l Darmendra (36:22) dan Ong Weo Xiang (36:59) yang menamatkan larian di tempat kedua dan ketiga masing-masing.
Manakala gelaran juara bagi kategori 10km wanita diraih oleh Nurul Juliana Abdul Halim dengan catatan masa 40 minit dan 3 saat. Tempat kedua dan ketiga pula menjadi milik Loh Chooi Fern (41:57) dan Tan Li Jun (42:01).
Beberapa figura turut hadir memeriahkan acara tersebut seperti penyanyi, Jaclyn Victor; pemenang pingat olimpik acara badminton, Chan Peng Soon dan bekas pemain bola skuad kebangsaan, Indra Putra.