Pusat Tenis Nasional Tidak Akan Ditukar Kepada Gelanggang Pickleball Atau Padel

September 25, 2025
Lain-Lain

Hafiz Omar

Pusat Tenis Nasional di Jalan Duta akan kekal sebagai hab utama bagi sukan tenis negara dan tidak akan ditukar kepada sukan lain seperti pickleball atau padel – sukan yang kian mendapat sambutan menggalakkan akhir-akhir ini.

Itu penegasan yang dilontarkan oleh Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) – badan berkanun yang berfungsi mengurus dan menyelenggara komplek dan arena sukan yang dipertanggungjawabkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menerusi satu siaran media yang dikongsikan pada hari ini, PSM berhasrat untuk menjadikan Pusat Tenis Nasional sebagai hab tenis bertaraf dunia dan mercu tanda pembangunan sukan tenis negara.

“Melihat kepada peningkatan permintaan, PSM akan melabur dalam kerja-kerja menaiktaraf termasuk pembaikan gelannggang, pagar, fasiliti sokongan dan pemasangan lampu limpah baharu.”

“Kemudahan ini akan terus dibuka kepada orang awam melalui sistem tempahan dalam talian Courtsite.” tulis siaran media berkenaan.

Pada masa yang sama, PSM akan bekerjasama dengan Persatuan Tenis Lawn Malaysia (LTAM) dan Duta International Tennis Academy – yang boleh memanfaatkan fasiliti melalui tempahan pukal pada kadar istimewa bermula Januari 2026 – bagi memperkukuh ekosistem tenis negara.

“PSM yakin Pusat Tenis Nasional mampu melahirkan lebih ramai pemain bertaraf dunia dan menarik lebih banyak kejohanan berprestij sekaligus mengangkat imej Malaysia di peringkat global.” tambah siaran itu lagi.

Baru-baru ini, Pusat Tenis Nasional menjadi tuan rumah bagi kejohanan antarabangsa, Piala Davis dan Piala Billie Jean King 2025 dengan sokongan KBS melalui Geran Padanan Sukan (GPS).

Featured Image: Perbadanan Stadium Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd