Terbuka Korea: Tien Ci-Chiew Sien Jejak Pentas Suku Akhir Pertama Tahun 2025
Hafiz Omar

Beregu campuran negara yang bergerak secara bersendirian (independent), Wong Tien Ci dan Lim Chiew Sien berhasil menjejakkan kaki ke peringkat suku akhir dalam kejohanan yang disertainya pada tahun ini.
Gandingan pemain berusia 27 dan 31 tahun masing-masing itu mencetak kemaraan yang penuh bermakna itu di Terbuka Korea 2025 – kejohanan ke-18 yang disertainya bermula Januari 2025.
Pertarungan yang berlangsung di pusingan 16 itu menemukan Tien Ci-Chiew Sien dengan wakil tuan rumah menduduki ranking ke-50 dunia, Lee Jong Min dan Chae Yu Jung – pertemuan sulung melibatkan kedua-dua pasangan di kejohan antarabangsa.
Selepas bertarung tiga set permainan selama hampir satu jam, Tien Ci-Chiew Sien, ranking ke-39 dunia, muncul sebagai pemenang menerusi skor 9-21, 21-15 dan 21-17.
Kemenangan itu membawa mereka bertemu beregu Denmark, Mathias Christiansen dan Alexandra Bøje yang menghuni ranking ke-69 dunia.
Untuk pengetahuan, Christiansen-Bøje mara ke peringkat yang sama selepas menudukkan wakil Indonesia yang diletakkan sebagai pilihan kelapan kejohanan, Jafar Hidayatullah dan Felisha Pasaribu.