Selangor FC Cari Ketua Jurulatih Baharu, Katsuhito Kinoshi Direhatkan

September 26, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kelab berpangkalan di Lembah Klang, Selangor FC nampaknya tidak mahu menggunakan lagi khidmat Katsuhito Kinoshi dari Jepun sebagai ketua jurulatihnya.

Menurut satu kenyataan kelab yang dikongsikan pagi ini, kelab berjulukan Gergasi Merah itu memaklumkan merehatkan Katsuhito daripada tugas selaku ketua jurulatih.

“Pihak kelab ingin merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada beliau atas segala sumbangan, usaha dan komitmen beliau sepanjang tempoh perkhidmatannya bersama Selangor FC.” tulis kenyataan terbabit.

Dalam kenyataan itu juga, Selangor FC berkongsikan bahawa proses pelantikan seorang ketua jurulatih tetap yang baharu sedang dilaksanakan.

Sementara itu, kekosongan yang ditinggalkan oleh Katsuhito itu diisi secara sementara waktu oleh ketua jurulatih Selangor FC II merangkap bekas ketua jurulatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel.

Sebagai rekod, Katsuhito yang pernah berkhidmat bersama skuad kebangsaan Serbia dilantik sebagai ketua jurulatih Selangor FC pada November 2024.

Untuk makluman, pengumuman merehatkan Katsuhito ini muncul selepas Selangor FC merekodkan empat kekalahan daripada sepuluh perlawanan merentasi pelbagai kejohanan bagi musim 2025-26.

Featured Image: Selangor FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd