Arif Aiman Tercalon Rebut Anugerah Pemain Terbaik Tahunan AFC

September 25, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Penyerang sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Mohd Hanapi mencipta sejarah dalam arena bola sepak tempatan apabila Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mencalonkan namanya bagi merebut anugerah Pemain Terbaik AFC 2025.

Nama pemain berusia 23 tahun itu didedahkan oleh AFC menerusi satu kenyataan membabitkan majlis Anugerah AFC Riyadh 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 16hb Oktober kelak.

Menurut AFC, Arif menjadi pemain Malaysia pertama dicalonkan bagi merebut anugerah berkenaan selepas menikmati kempen musim 2024-25 yang menakjubkan. 

Pemain kelahiran Pahang itu mencuri perhatian di kejohanan asia apabila menyumbat lima gol dimana ianya membantu skuad berjulukan Harimau Selatan mara ke pusingan 16 Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) selain menjuarai tiga tiga kejohanan domestik – Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Dua pemain yang turut dicalonkan oleh AFC bagi merebut Pemain Terbaik Tahun AFC adalah penyerang Al Sadd FC (Qatar), Akram Afif dan kapten Al-Hilal (Arab Saudi), Salem Al Dawsari. 

Akram, 28 tahun, merupakan pemenang anugerah ini bagi edisi 2019 dan 2023 tercalon susulan membantu kelabnya mara dalam kelompok lapan terbaik ACLE selain merangkul kejuaraan liga buat ke-18.

Sementara itu, Salem, 34 tahun, memburu anugerah ini buat kali kedua selepas merangkulnya pada edisi 2022. Pemain yang pernah berkelana di Villarreal CF ini merupakan penjaring terbanyak ACLE 2024-25 dengan catatan 10 gol.

Jaringannya itu membantu Al-Hilal mara ke separuh akhir ACLE. Tidak terhenti setakat itu, Salem turut mencuri perhatian ketika menolong Al-Hilal mara ke suku akhir Piala Dunia Kelab FIFA 2025.

Majlis Anugerah AFC Riyadh 2025 ini boleh ditonton secara langsung menerusi saluran Youtube, The AFC Hub, mula bersiaran pada pukul 1 pagi (17hb Oktober) bagi waktu Malaysia.

Featured Image:Β JOHOR Southern Tigers

Β© 2025 Amanz Media Sdn Bhd