Terbuka Korea: Tiada Wakil Malaysia Ke Separuh Akhir

September 26, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Pentas separuh akhir Terbuka Korea 2025 – Jelajah Dunia BWF Super 500 – tidak akan menampilkan sebarang kelibat wakil Malaysia.

Ini selepas kedua-dua beregu campuran negara iaitu Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai dan Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien tewas kepada lawan masing-masing di peringkat suku akhir, hari ini.

Soon Huat-Shevon terlebih dahulu dikekang langkahnya ke separuh akhir apabila gagal menjinakkan beregu No.1 dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.

Dalam pertarungan tersebut, Soon Huat–Shevon yang juga merupakan pilihan kelima kejohanan tewas menerusi tiga set permainan berskor 9-21, 21-18 dan 8-21 dalam masa 43 minit.

Sementara itu, Tien Ci-Chiew Sien yang bergerak secara sendirian (independent) mengikuti jejak langkah yang sama selepas tumpas di tangan pasangan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Bøje.

Mereka tewas dua set berturut-turut menerusi skor 12-21 dan 8-21 dalam tempoh sekitar setengah jam sahaja.

Sebagai perbandingan, edisi tahun lalu menyaksikan dua wakil Malaysia berhasil mara ke peringkat separuh akhir iaitu beregu wanita, Pearly Tan-Thinaah Muralitharan dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Bukan setakat itu, Tang Jie-Ee Wei menceriakan peminat badminton tanah air dengan meraih gelaran juara selepas menumbangkan pasangan China, Guo Xin Wa-Li Qian.

Featured Image: BAM

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd