FIFA Hukum FAM, Gantung 7 Pemain ‘Keturunan’ Malaysia Selama 12 Bulan – Pemalsuan Dokumen

September 26, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh orang pemain berketurunan Malaysia dikenakan hukuman oleh badan induk bola sepak dunia, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), pada hari ini.

Menerusi satu kenyataan yang disiarkan pada jam 10 malam tadi, Jawatankuasa Tatatertib FIFA memaklumkan menghukum FAM serta Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo, Hector Hevel, Jon Irazabal, Imanol Machuca dan Gabriel Palmero berikutan pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dan penyelewengan. 

“FAM telah mengemukakan pertanyaan berkaitan kelayakan kepada FIFA, dan dalam proses itu, ia telah menggunakan dokumen yang telah diubah suai untuk membolehkan pemain-pemain tersebut diturunkan,” tulis kenyataan itu.

Ketujuh-tujuh pemain tersebut diturunkan beraksi mewakili Malaysia bertemu Vietnam dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia AFC Arab Saudi 2027 pada 10hb Jun 2025 – selepas FIFA menerima aduan berhubung kelayakan semua pemain itu.

Selepas melalui prosiding biasa, Jawatankuasa Tatatertib FIFA telah menilai semua bukti yang ada dan mengenakan sekatan dengan mengarahkan FAM membayar denda sebanyak CHF350,000 (~RM1.85 juta) kepada FIFA dan ketujuh-tujuh pemain tersebut diperintahhkan bayar didenda CHF2,000 (~RM10,500) setiap orang kepada FIFA. 

Tidak sekadar itu, pemain-pemain yang dinyatakan di atas turut digantung daripada semua aktiviti bola sepak selama 12 bulan berkuat kuasa dari tarikh pemakluman keputusan ini.

Pada masa yang sama, FIFA memaklumkan isu mengenai kelayakan pemain-pemain tersebut untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan Malaysia telah dirujuk oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA kepada Tribunal Bola Sepak FIFA untuk dipertimbangkan.

“FAM dan para pemain telah dimaklumkan mengenai terma keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada hari ini.” tulis kenyataan itu lagi.

Tambah Jawatankuasa Tatatertib FIFA lagi, keputusan ini masih tertakhluk kepada kemungkinan rayuan di hadapan Jawatankuasa Rayuan FIFA.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd