Terengganu FC Umum Penyertaan Bekas Kapten PDRM FC Dari Myanmar
Hafiz Omar

Pasukan berpangkalan di pantai timur, Terengganu FC mengumumkan Kyaw Min Oo sebagai pemain import terbaru menyertai skuadnya bagi mengharungi saingan Liga Malaysia 2025-26.
Kemasukan bekas kapten PDRM FC dari Myanmar itu dikongsikan oleh Terengganu FC menerusi pelbagai platform media sosialnya termasuk laman sesawang rasminya, pagi ini.
“Kyaw Min Oo, 29 tahun, merupakan pemain tengah bertahan yang juga mampu beraksi sebagai pertahanan tengah. Beliau sebelum ini merupakan kapten kepada kelab PDRM FC di Liga Super Malaysia dan turut menjadi tonggak utama skuad kebangsaan Myanmar.”
“Lahir pada 16 Mei 1996 di Oktwin, Myanmar, pemain setinggi 1.78m ini terkenal dengan ketenangan, disiplin taktikal dan kepimpinannya di atas padang. Sepanjang kariernya, beliau sering diberi kepercayaan memimpin pasukan hasil pengalaman luasnya di peringkat kelab dan antarabangsa.” tulis kenyataan oleh pihak kelab.
Difahamkan, Min Oo ditandatangani oleh skuad bimbingan Badrul Afzan Razali sebelum jendela perpindahan pertama Liga Malaysia 25-25 berakhir pada 31hb Ogos baru-baru ini.
“Kehadiran Kyaw Min Oo adalah satu suntikan penting buat pasukan Terengganu FC, bukan sahaja dari segi kualiti permainan tetapi juga kepimpinan beliau. Pasukan Terengganu FC yakin pengalaman beliau bersama skuad kebangsaan Myanmar dan PDRM akan membantu memperkukuhkan jentera tengah serta benteng pertahanan pasukan.” tambah kenyataan oleh Terengganu FC lagi.
Kemasukan Min Oo ini menyaksikan Terengganu FC mempunyai tujuh pemain import bagi musim ini selepas menandatangani lima pemain – Diego Landis, Gabriel Silva, Yann Mabella, Raianderson da Costa Morais (Careca), Junior Ngong – selain mengekalkan Nurillo Tukhtasinov.
Featured Image: Terengganu FC