Akhyar Rashid Cedera Buku Lali, Terpaksa Berehat 4 Minggu
Hafiz Omar

Ketua jurulatih Terengganu FC, Badrul Afzan Razali terpaksa akur terlepas khidmat pemain sayap lincahnya, Akhyar Rashid sekurang-kurangnya selama sebulan.
Ini berikutan tonggak bagi skuad Hitam Putih itu mengalami kecederaan buku lali pada kaki kanannya.
Kelibat pemain kelahiran negeri Kedah itu bukan sahaja tidak kelihatan ketika Terengganu FC bertemu Kuala Lumpur City FC (KL City) bahkan turut tidak kelihatan dalam senarai hari perlawanan.
Kecederaan itu menyaksikan Akhyar turut terlepas derbi pantai timur apabila Terengganu FC melayan kunjungan Kelantan The Real Warriors FC pada Jumaat kelak.
“Saya rasa Akhyar rehat dalam tempoh yang lama jugak, dalam 2 hingga 4 minggu, sedikit sebanyak merencatkan perancangan saya,” katanya dalam sidang media selepas bertemu KL City di Cheras.
Badrul memaklumkan akan mempertaruhkan Baqiuddin Shamsudin bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan buat sementara waktu oleh Akhyar.
Sementara itu, pihak kelab turut memaklumkan bahawa Akhyar kini berada dalam fasa dua minggu pertama rawatan konservatif sebelum memasuki proses pemulihan seterusnya yang merangkumi sesi rehab dan conditioning.
Featured Image: Terengganu FC