Rob Friend Terkejut Dengan Keputusan & Sekatan Oleh FIFA
Hafiz Omar

Penggantungan tujuh pemain skuad kebangsaan yang mempunyai susur galur Malaysia selama 12 bulan serta denda sebanyak CHF2,000 (~RM10,500) oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengejutkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) skuad Harimau Malaya, Rob Friend.
Tujuh pemain yang dikenakan hukuman dan denda tersebut ialah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Joao Figeuiredo, Hector Hevel, Jon Irazabal, Imanol Machucha dan Gabriel Palmero.
Beliau memberikan reaksi mengenai perkara tersebut sambil menyifatkannya sebagai sekatan luar biasa oleh FIFA menerusi satu kenyataan media yang disiarkan oleh akaun-akaun media sosial Malaysia NT, sebentar tadi.
“FAM telah menangani isu-isu pentadbiran yang sedang disemak, dan skuad kebangsaan berdiri teguh di belakang proses rayuan.”
“Bagi Harimau Malaya, tumpuan penuh kami adalah perjalanan yang mendatang,, mempersiapkan pasukan yang kuat bagi perlawanan kelayakan berikutnya menentang Laos dan memastikan disiplin, profesionalisme serta prestasi di atas padang berterusan mencerminkan kebanggaan dan semangat negara.” ujarnya.
Bekas penyerang skuad kebangsaan Kanada itu mengambil sikap menghormati prosiding yang sedang berjalan dan percaya proses ini akan memberikan hasil yang adil dan telus.
“Ini merupakan detik penentu buat bola sepak Malaysia.” tambahnya lagi.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat lalu, pemain-pemain dan badan induk, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) boleh membuat rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA.
Sejurus hukuman dan sekatan itu dimaklumkan oleh FIFA, FAM turut mengesahkan akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut dan akan menggunakan semua saluran serta prosedur perundangan yang ada bagi memastikan kepentingan para pemain serta pasukan kebangsaan Malaysia sentiasa terpelihara.
Featured Image: Football Association of Malaysia