Erick Thohir Tegaskan Indonesia Tidak Masuk Campur Isu Negara Lain

September 30, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Menteri Pemuda dan Olahraga (Menpora) Republik Indonesia, Erick Thohir menafikan tuduhan mengaitkan Indonesia dalam hukuman dan denda yang dikenakan oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain berketurunan Malaysia dalam skuad kebangsaan.

Hukuman dan denda itu dikenakan oleh FIFA ke atas FAM serta tujuh pemain terdiri daripada Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo, Hector Hevel, Jon Irazabal, Imanol Machuca dan Gabriel Palmero atas dakwaan pemalsuan dokumen.

Tuduhan itu muncul berikutan berlangsungnya pertemuan Presiden Republik Indonesia, Prabowo Subianto dan Presiden FIFA, Gianni Infantino di New York baru-baru ini. 

“Kami tidak intervensi, tidak ikut campur isu-isu negara lain,” jawabnya ketika ditanyakan oleh wartawan sepertimana dikongsikan oleh 20 Detik.

Menurut pelbagai laporan media di negara jiran tetangga itu, Erick yang pernah menjawat jawatan Pengerusi Inter Milan menjelaskan perjumpaan antara Prabowo dan Gianni hanya membincangkan mengenai perkembangan bola sepak Indonesia.

Tambahnya lagi, pertemuan itu turut membahaskan mengenai pembentukan FIFA Academy di Indonesia selain mengadakan program pembangunan akar umbi menerusi kejohanan dunia lapan sebelah bagi usia 15 tahun dan ke bawah.

Featured Image: Instagram Gianni Infantino

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd