Luis Garcia Kecewa Kesilapan Teknikal Dilakukan Oleh FAM

September 30, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kesilapan teknikal dalam proses penghantaran dokumen oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengecewakan kelab gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Nada kekecewaan itu dilontarkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT, Luis Garcia.

Ianya menyebabkan tiga tonggaknya yang juga pemain skuad kebangsaan iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel digantung daripada terlibat sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) kecewa berlakunya kesilapan teknikal dalam proses penghantaran dokumen oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang telah menyebabkan penggantungan tiga pemain skuad kebangsaan Malaysia yang bermain untuk JDT.” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikongsikan pada hari ini.

Pada Isnin, Malaysian Football League (MFL) selaku penganjur bola sepak domestik turut mengeluarkan makluman bahawa ketiga-tiga tersebut tidak boleh beraksi dalam mana-mana pertandingan di bawah kelolaannya.

Bukan setakat saingan domestik, ketiga-tiga pemain itu juga tidak dapat terlibat dalam saingan antarabangsa seperti Liga Juara-Juara Elit (ACLE) dan Kejohanan Kelab ASEAN Piala Shopee.

“Kami berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan segera dan para pemain terbabit dapat kembali mewakili JDT dalam masa terdekat.” tulis kenyataan itu lagi.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd