Masters Al Ain: Letshanaa Ke Pusingan 16 Selepas Empat Kali Kandas Di Pusingan 32
Hafiz Omar

Perseorangan wanita No.1 negara, Letshanaa Karupathevan berhasil melangkah ke pusingan 16 buat julung kalinya selepas terkandas sebanyak empat kali berturut-turut di pusingan 32 dalam empat kejohanan terakhir disertainya.
Empat kejohanan terbabit ialah Terbuka Korea, Terbuka Hong Kong, Kejohanan Dunia BWF dan Terbuka Macau.
Letshanaa, ranking ke-38 dunia, melakar kemaraan terbabit selepas menumbangkan pemain Perancis, Romane Cloteaux-Foucault di Masters Al Ain 2025, sebentar tadi.
Dalam pertemuan itu, Letshanaa mencetak kemenangan bergaya secara dua set berturut-turut menerusi skor 21-14 dan 21-9 dalam masa 24 minit.
Keputusan itu membawa Letshanaa yang diletakkan selaku pilihan pertama kejohanan bertemu pemain Bulgaria yang menduduki ranking ke-112 dunia, Hristomira Popovska.
Berdasarkan rekod, Letshanaa dan Popovska belum bertemu dalam mana-mana kejohanan setakat ini.
Featured Image: BAM