Isu Penggantungan FIFA, FAM Tidak Akan Keluar Sebarang Kenyataan Lanjut

October 1, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan atau perkembangan lanjut mengenai penggantungan yang dikenakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Menerusi satu kenyataan media, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman memaklumkan badan induk itu akan berbuat demikian sehingga proses rayuan selesai sepenuhnya.

“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ingin memaklumkan bahawa pada ketika ini tiada sebarang perkembangan baharu berhubung isu keputusan penggantungan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).”

“FAM masih menunggu dokumen penuh keputusan penghakiman daripada pihak FIFA. Proses rayuan hanya akan dimulakan sebaik sahaja dokumen penuh keputusan penghakiman tersebut diterima.” ujarnya.

Seperti ramai ketahui, Jawatankuasa Tatatertib FIFA telah mengenakan hukuman gantung serta denda terhadap tujuh orang pemain naturalisasi atas dakwaan pemalsuan dokumen, pada Jumaat.

Pada masa yang sama, FAM juga dikenakan denda sebanyak CHF350,000 (~RM1.85 juta).

Bagaimanapun, keputusan itu boleh dirayu kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA dan FAM, pada Sabtu, mengesahkan akan melakukan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Dalam satu kenyataan berasingan, FAM turut mengakui wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen yang dilakukan oleh kakitangan pentadbiran.

Featured Image: FAM

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd