Eco-Shop, Famemas Berkolaborasi Hantar Penyokong Ke Sukan SEA 2025

October 2, 2025
Lain-Lain

Hafiz Omar

Rangkaian kedai yang cukup dikenali dengan penawaran harga RM2.60 bagi pelbagai barangan, Eco-Shop tampil mengumumkan satu kolaborasi dengan kumpulan penyokong sukan negara, Famemas Malaysia Sports Supporters Club.

Kolaborasi unik itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) & Pengarah Eksekutif Eco-Shop Marketing Bhd, Ms Jessica Ng dan Presiden Famemas Malaysia Sports Supporters Club, Lee Hui Seng dalam satu majlis yang berlangsung di Arena Sukan Kuala Lumpur, hari ini.

Sebahagian daripada inisiatif kolaborasi ini, Eco-Shop akan menaja 45 delegasi terdiri daripada ahli Famemas termasuk pemenang peraduan beli & menang “Malaysia Power” anjuran Eco-Shop ke Sukan SEA Bangkok 2025 bagi memberikan sokongan kepada atlet-atlet negara yang beraksi di sana.

Bercakap mengenai peraduan tersebut, pelanggan yang membeli belah di kedai Eco-Shop seluruh negara bermula 6hb hingga 26hb Oktober berpeluang untuk memenangi hadiah berupa perjalanan percuma ke Bangkok bagi menyaksikan temasya Sukan SEA itu. 

Syarat-syaratnya, pelanggan hanya perlu membuat pembelian sebanyak RM35 bagi setiap resit dan imbas kod QR pada resit tersebut untuk mengisi butiran yang diperlukan serta memuat naik resit bagi tujuan bukti pembelian.

Pada masa yang sama, Eco-Shop turut menggalakkan penyertaan berulang bagi meningkatkan peluang kemenangan.

Majlis yang berlangsung tadi turut dihadiri bekas atlet kebangsaan, Datuk Foo Kok Keong, Noraseela Khalid, Chai Fong Ying dan R. Puvaneswaran.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd