Klasik Qatar: Perjalanan Sivasangari, Aira Terhenti Di Suku Akhir
Hafiz Omar

Kempen pemain skuasy wanita No.1 negara, Sivasangari Subramaniam di Kejohanan Klasik Qatar 2025 nampaknya menemui titik noktahnya di peringkat suku akhir.
Hasratnya untuk melangkah ke peringkat separuh akhir bagi Jelajah Skuasy PSA Platinum itu tidak kesampaian berikutan tewas di tangan pemain No.2 dunia dari Mesir, Hania El Hammamy, pada malam tadi.
Dalam pertarungan tersebut, Sivasangari yang kini berada di ranking ketujuh dunia tewas tiga set berturut-turut menerusi skor 7-11, 8-11 dan 6-11 dalam masa 34 minit.
Sebagai rekod, kekalahan itu menjadi yang keenam dialami Sivasangari daripada lapan pertemuan dengan Hania di kejohanan antarabangsa.
Sementara itu, kejohanan yang berlangsung di Kompleks Skuasy & Tenis Khalifa itu turut menyaksikan seorang lagi pemain wanita negara yang berada di ranking ke-26 dunia, Aira Azman turut sama tersingkir di peringkat suku akhir.
Bertemu dengan Amina Orfi yang juga merupakan pemain Mesir, Aira terpaksa akur mengucapkan selamat tinggal kepada kejohanan Klasik Qatar selepas tewas tiga set berturut-turut menerusi skor 4-11, 4-11 dan 9-11 dalam 34 minit.
Featured Image: PSA Squash Tour