Bola Rasmi Piala Dunia FIFA 2026 Tampil Warna Merah, Hijau & Biru – Sertakan Cip 500Hz

October 3, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Badan induk bola sepak dunia merangkap penganjur, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memperkenalkan bola perlawanan rasmi bagi Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada & Mexico, pada hari ini.

Bola itu kekal dihasilkan oleh Adidas, tradisi sejak edisi 1970, dan diberikan nama Trionda, boleh diterjemahkan daripada bahasa Sepanyol sebagai “Tiga Ombak” yang meraikan fakta bahawa julung kalinya kejohanan ini dihoskan oleh tiga buah negara.

Reka bentuk bola itu menampilkan skema warna merah, hijau dan biru sebagai penghormatan kepada tiga negara tuan rumah dengan struktur baharu empat panel berbentuk geometri cecair yang menyerupai ombak – merujuk kepada nama bola ini.

Pada masa yang sama, ikonografi mewakili setiap negara turut menghiasi bola tersebut – daun maple bagi Kanada, helang untuk Mexico dan bintang bagi Amerika Syarikat – manakala perincian emas pula penghormatan kepada trofi Piala Dunia FIFA.

Di dalam bola itu juga, sebuah cip sensor pergerakan 500Hz berteknologi tinggi turut diletakkan bagi memberikan maklumat terperinci tentang setiap elemen bagi pergerakan bola.

Ia akan menghantar data yang tepat kepada sistem video bantuan pengadil (VAR) secara masa nyata sekaligus meningkatkan proses membuat keputusan termasuk berkaitan ofsaid oleh pengadil.

Featured Image: FIFA

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd