Peter Cklamovski Panggil Pemain Naturalisasi Baharu Bertemu Laos
Hafiz Omar

Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Peter Cklamovski memanggil beberapa muka baharu untuk menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya menjelang aksi bertemu Laos – Kelayakan Piala Asia 2027.
Salah satu daripada muka baharu terbabit adalah pemain naturalisasi baharu iaitu Jordan Mintah yang baru sahaja diumumkan menjadi rakyat Malaysia oleh kelabnya, Kuching City FC sekitar penghujung Ogos lalu.
Selain pemain berusia 30 tahun itu, Cklamovski turut memanggil rakan sepasukan Mintah iaitu Ramadhan Saifullah dan pertahanan Kuala Lumpur City FC, Declan Lambert serta dua pemain dari Johor Darul Ta’zim (JDT), Afiq Fazail dan Junior Eldstal.
Senarai pemain yang dipanggil Cklamovski pada kali ini turut menyelitkan dua pemain daripada skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) iaitu Aliff Izwan Yuslan (Selangor FC) dan Ubaidullah Shamsul (Terengganu FC).

Selebihnya, 22 pemain lain lagi merupakan nama-nama yang dikekalkan daripada skuad menentang Singapura dan Palestis pada Perlawanan Antarabangsa Tier 1 pada 4hb dan 8hb September lalu.
Itu termasuk empat pemain yang beraksi di luar negara terdiri daripada Dion Cools (Cerezo Osaka; Jepun), Endrick dos Santos (Ho Chi Minh City Police FC; Vietnam), Sergio Aguero (Kanchanaburi Power FC; Thailand) dan Richard Chin (Raith Rovers FC; Scotland).
Sementara itu, tujuh pemain naturalisasi yang digantung oleh FIFA – Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo, Hector Hevel, Jon Irazabal, Imanol Machuca dan Gabriel Palmero – tiada dalam dalam senarai.
Kem latihan pusat Harimau Malaya dimaklumkan bermula 6hb Oktober (Isnin). Anak-anak buah Cklamovski dijadualkan menentang Laos di Vientiane pada 9hb Oktober (Khamis) diikuti bertemu lawan yang sama di Kuala Lumpur pada 14hb Oktober (Selasa).

Featured Image: FAM