FIFA Perkenal Maskot Piala Dunia 2026 – Maple, Zayu & Clutch
Hafiz Omar

Selepas memperkenalkan bola perlawanan rasmi, penganjur merangkap badan induk bola sepak dunia, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memperkenalkan pula maskot rasmi bagi Piala Dunia FIFA 2026.
Edisi kali ini menyaksikan FIFA memperkenalkan tiga maskot yang setiap satunya mewakili dan mencerminkan budaya, warisan dan semangat setiap negara hos iaitu Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat masing-masing.
Tiga maskot itu diberikan nama Maple The Moose (Kanada), Zayu The Jaguar (Mexico) dan Clutch The Bald Eagle (Amerika Syarikat).
Maskot-maskot ini akan berada dimana-mana – menyambut peminat dari seluruh dunia, menginspirasikan penyokong cilik dan bersorak ketika Piala Dunia FIFA yang disertai 48 pasukan berlangsung dari 11hb Jun hingga 19hb Julai pada tahun hadapan.
Sebagai tambahan, penyokong boleh mendatkan baju dan pelbagai cenderamata bertemakan maskot-maskot itu secara atas talian menerusi laman sesawang FIFAStrore.com.
Pengenalan itu turut disusuli dengan pengenalan permainan bola sepak simulasi 5 sebelah gaya “arcade”, rentak laju serta penuh dengan elemen fantasi, FIFA Heroes – turut disertakan maskot Maple, Zayu & Clutch.
Selain itu, permainan itu membolehkan pengguna membentuk skuad terdiri daripada maskot Piala Dunia FIFA edisi-edisi lalu, ikon bola sepak serta karakter fiksyen kegemaran masing-masing daripada rancangan TV dan filem popular.
Ianya bakal dilancarkan pada tahun hadapan dan bakal tersedia di platform Android, iOS, Nintendo Switch, Playstation dan XBox.
FIFA menjelaskan permainan ini dilancarkan bagi mendekati penyokong dan peminat muda selain sebahagian daripada portfolio yang semakin berkembang di bawah payung FIFAe – yang bertujuan menjadikan bola sepak digital dapat diakses kepada lebih ramai penyokong dan lebih banyak platform.