Johan Ghazali Dilantik Sebagai Duta Grantt Lubricants
Hafiz Omar

Petarung muay thai negara, Johan Ghazali Zulfikar atau lebih dikenali sebagai Jojo kini dilantik sebagai Duta Jenama Grantt Lubricants – jenama minyak pelincir di bawah UMW Lubetech.
Pelantikan itu dibuat secara rasmi selepas Johan serta wakil komersilnya, Mambaverse menandatangani perjanjian penajaan bersama Grantt Lubricants dalam satu majlis yang berlangsung di Lubetech Gallery, UMW Lubetech, Pulau Indah pada hari ini.
Hasil daripada perjanjian itu, Johan diangkat selaku Duta Jenama bagi tempoh setahun sementara Grantt Lubricants memberikan sejumlah wang penajaan yang tidak didedahkan kepada umum bagi kegunaan karier Johan.

Di pihak Grantt pula, mereka akan mendapat keterlihatan jenama ketika setiap kali Jojo memasuki gelanggang, keterlibatan jenamanya di media sosial milik Jojo serta penghasilan cenderamata terhad antara Jojo dan Grantt.
“Kami nak melonjakkan nama Grantt ini dengan berpaut kepada populariti Jojo, kita akan banyakkan promosi, kandungan ‘online’ (atas talian), buat lebih banyak ‘appearance’ (penampilan) seperti ‘meet & greet’ (temu mesra) bersama peminat, dan program-program yang akan kita tampilkan supaya jenama Grantt dapat dikenali seluruh Malaysia,” kongsi Pengarah Bahagian Pembuatan dan Kejuruteraan Sime UMW, Ami Akhram Abdullah.
“Kalau boleh kita tak nak dedahkan amaun (penajaan) itu, harapan kami sumbangan yang kami berikan ini boleh membantu sedikit sebanyak perbelanjaan Jojo untuk memajukan kerjayanya.” tambahnya lagi.
Grantt, jenama minyak pelincir tempatan, mempercayai kepada pemerkasaan bakat tempatan. Justeru, penajaan ini mercerminkan kepercayaan itu selain mengumumkan menaja Kelab Bola Sepak Selangor (SFC), baru-baru ini.