Sekretariat FIFA Kumpul Sijil Kelahiran Asal Datuk, Nenek 7 Pemain ‘Warisan’ – Semua Lahir Di Luar Malaysia

October 7, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kesemua datuk atau nenek bagi tujuh pemain bola sepak skuad kebangsaan berketurunan Malaysia; Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Joao Figeuiredo, Hector Hevel, Jon Irazabal, Imanol Machucha dan Gabriel Palmero tidak lahir di mana-mana bahagian dalam negara Malaysia pada hari ini.

Itu yang didedahkan dalam dokumen penghakiman penuh sebanyak 19 muka surat oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA bertarikh 6hb Oktober 2025 berhubung kes pemalsuan dan penyelewengan dokumentasi melibatkan asal usul datuk atau nenek tujuh pemain berkenaan.

Perkara tersebut ditulis dalam dokumen berkenaan selepas Sekretariat kepada Jawatankuasa Tatatertib FIFA berhasil mengumpul salinan sijil kelahiran asal bagi datuk dan nenek pemain-pemain berkenaan.

Tiga daripadanya lahir di Argentina sementara dua daripadanya lahir di Sepanyol manakala dua orang lagi lahir di Brazil dan Belanda masing-masing.

Ini bercanggah dengan sijil kelahiran yang dilampirkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menyatakan datuk kepada Hector iaitu Hendrik Jan Hevel lahir di Melaka; nenek kepada Gabriel iaitu Maria Belen Concepcion Martin juga lahir di Melaka dan datuk kepada Facundo iaitu Carlos Rogelio Garces Fernandez lahir di Pulau Pinang. 

Senarai itu diikuti dengan sijil kelahiran yang menyatakan datuk kepada Rodrigo iaitu Omar Eli Holgado Gardon juga lahir di Pulau Pinang; nenek kepada kepada Imanol iaitu Concepcion Agueda Alaniz turut lahir di Pulau Pinang; nenek kepada Figueiredo iaitu Nair de Oliveira lahir di Johor dan akhir sekali datuk kepada Irazabal iaitu Gregorio Irazabal y Lamiquiz lahir di Kuching, Sarawak.

Terdahulu, FAM menghantar sijil-sijil kelahiran bagi datuk dan nenek setiap pemain-pemain berkenaan bagi bertanyakan kelayakan tujuh pemain itu untuk mewakili skuad kebangsaan Malaysia.

FIFA memberikan jawapan balas dan ketujuh-tujuh pemain itu layak beraksi bersama skuad berjulukan Harimau Malaya. Kesemuanya turun beraksi bertemu Vietnam dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 yang berkesudahan dengan Malaysia melakar kemenangan 4-0. Figueiredo dan Rodrigo turut menjaringkan satu gol masing-masing dalam perlawanan itu.

Selepas perlawanan itu, FIFA menerima aduan mengenai kelayakan Gabriel, Rodrigo, Imanol, Irazabal dan Hector untuk beraksi bersama Malaysia.

Selain itu, jawatankuasa yang diketuai oleh Jorge Palacio dari Colombia itu menekankan mengenai kenyataan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, dikemukakan sendiri oleh FAM, sebagai amat penting.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan pihaknya tidak pernah menerima sijil kelahiran asal. Sebaliknya, JPN telah mengeluarkan salinan sendiri berdasarkan maklumat sekunder dan dokumen luar negara dari Argentina, Brazil dan Sepanyol.

JPN sendiri mengesahkan tidak dapat memperoleh semula rekod asal yang ditulis tangan dan oleh itu telah mengeluarkan salinan rasmi berdasarkan bukti bahawa kelahiran tersebut telah berlaku.  

Pengakuan ini, menurut dapatan jawatankuasa, menunjukkan bahawa proses pengesahan Kerajaan Malaysia mungkin tidak berpaksikan dokumen asal, sekaligus menimbulkan persoalan terhadap ketelitian proses pengesahan oleh FAM. 

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd