Penyokong Bola Sepak Terluka, Marah & Kecewa – Hannah Yeoh
Hafiz Omar

“Penyokong bola sepak tanah air berasa terluka, marah dan kecewa,” itu lontaran komen oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh selepas membaca alasan penghukuman oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain ‘berketurunan’ Malaysia.
Hukuman itu dikenakan selepas FAM dan serta pemain-pemain yang terdiri daripada Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo, Hector Hevel, Jon Irazabal, Imanol Machuca dan Gabriel Palmero didapati oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dan penyelewengan dokumen.
Komen itu dilontarkannya menerusi satu kenyataan yang disiarkan di pelbagai akaun media sosial rasminya, pagi tadi.
Hannah turut menegaskan bahawa FAM tidak boleh berdiam diri dan mesti menjawab secara jelas tentang segala pendedahan yang dibuat oleh FIFA selain daripada perlu melengkapkan proses rayuan – mengumumkan hasrat untuk merayu dan memfailkannya.
Di kesempatan yang sama, Hannah menyeru kepada semua penyokong bola sepak tanah air untuk sentiasa bersama pemain skuad kebangsaan.
Lebih-lebih lagi Malaysia akan turun menentang Laos di Vientiane dan Kuala Lumpur pada 9hb dan 14hb Oktober masing-masing bagi aksi ketiga dan keempat peringkat Kumpulan F, pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027.
Featured Image: Facebook Hannah Yeoh