Uzbekistan Bawa Fabio Cannavaro Ke Piala Dunia 2026

October 7, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Skuad bola sepak kebangsaan Uzbekistan akan bertandang ke Piala Dunia FIFA yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico pada tahun 2026 diiringi dengan legenda Itali iaitu Fabio Cannavaro.

Perkembangan itu hadir selepas Persatuan Bola Sepak Uzbekistan (UFA) mengumumkan secara rasmi telah menandatangani Cannavaro sebagai ketua jurulatih bagi skuad kebangsaan yang menghuni ranking ke-54 dunia berkenaan.

Pengumuman itu dikongsikan oleh UFA menerusi pelbagai platform media sosialnya, pada Isnin.

“Persatuan Bola Sepak Uzbekistan telah menandatangani kontrak bersama Fabio Cannavro – pakar yang terkenal, salah seorang pertahanan terbaik dalam generasinya, empat kali menyertai Piala Dunia dan juaran Piala Dunia FIFA 2006.” 

“Jurulatih Itali ini akan membimbing skuad kebangsaan kita sebagai persiapan untuk Piala Dunia akan datang yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.” tulis kenyataan oleh UFA.

Cannavaro yang pernah membimbing pelbagai kelab di China, Arab Saudi, Croatia serta negara kelahirannya sendiri termasuk skuad kebangsaan China ditandatangani untuk menggantikan Timur Kapadze.

Pencapaian terbaik Cannavaro semasa bergelar jurulatih hadir ketika beliau membimbing Guangzhou Evergrande menjulang Piala Super 2018 dan menjuarai Liga Super China 2019.  

Untuk makluman, Uzbekistan berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia FIFA buat julung kali dalam sejarahnya. 

Situasi itu turut dibantu oleh perubahan penyertaan pasukan dimana ianya diperluaskan dari 32 kepada 48 pasukan. 

Kelayakan itu dijelmakan selepas mencatatkan keputusan seri bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi kesembilan pusingan ketiga kelayakan, pada Jun lalu. Keputusan itu membolehkan mereka membolot kedudukan naib juara Kumpulan A dengan pungutan 18 mata biarpun masih berbaki satu lagi perlawanan.

Featured Image: UFA

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd