Ranking BWF: Naib Juara Masters Al Ain 2025 Naik Satu Anak Tangga
Hafiz Omar

Perseorangan lelaki negara yang bergerak secara bersendirian (independent), Aidil Sholeh memperbaiki kedudukannya dalam Ranking Dunia selepas mara ke perlawanan akhir Masters Al Ain 2025, Ahad lalu.
Menerusi kemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), pemain berusia 25 tahun berkenaan kini menghuni tangga ke-39 dunia – meningkat satu anak tangga berbanding kedudukannya pada minggu ke-40 bagi tahun ini.
Peningkatan itu disumbangkan oleh pertambahan sebanyak 4,680 mata yang dikutipnya hasil mara ke perlawanan akhir dan bergelar naib juara di Jelajah BWF Super 100 berkenaan.
Secara keseluruhannya, Aidil kini mempunyai 39,910 mata hasil daripada 10 kejohanan terbaik yang disertainya dalam tempoh 52 minggu yang sudah. Kedudukan itu juga mengekalkan statusnya sebagai perseorangan lelaki No.3 tanah air.
Sementara itu, bekas perseorangan lelaki No.1 tanah air, Lee Zii Jia mengalami kejatuhan sebanyak satu lagi anak tangga dalam kemaskini pada hari ini. Kejatuhan itu meletakkannya di tangga ke-44 dunia bagi minggu ini.
Manakala kedudukan perseorangan lelaki No.1 dan No.2 tanah air iaitu Leong Jun Hao dan Justin Hoh kekal tidak berganjak di tangga ke-21 dan ke-36 dunia masing-masing.
Featured Image: BAM