Terima Kasih Bos & Kiko Insa – Iker Undabarrena
Hafiz Omar

Pemain tengah kelahiran Sepanyol, Iker Undabarrena tidak lagi bersama juara Liga Super 11 kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Menerusi satu hantaran di akaun Instagram peribadinya, pemain berusia 30 tahun berkenaan tampil memaklumkan masanya bersama skuad berjulukan Harimau Selatan itu tiba ke penghujungnya.
“Selepas setahun yang cukup menakjubkan dengan pelbagai kenangan yang tidak akan saya lupakan, masa saya bersama JDT kini tiba ke penghujungnya,”
“Saya ingin berterima kasih kepada bos Tunku Mahkota Ismail dan Kiko Insa kerana mempercayai saya dan memberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah kelab hebat ini.” tulisnya.
Sebagai rekod, produk Athletic Bilbao ini tiba di Iskandar Puteri pada Ogos tahun lalu ketika jendela pendaftaran kedua Liga Malaysia 2024-2025.
Bermula saat itu, Iker yang pernah beraksi di Sepanyol dan Portugal merekodkan 19 penampilan ketika menyarung jersi Merah Biru dalam pelbagai pertandingan termasuk Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Bagaimanapun, kelibat Iker bersama JDT pada musim ini hanya kelihatan dalam satu perlawanan ketika skuad bimbingan Xisco Munoz melayan kunjungan Negeri Sembilan FC sekitar pertengahan Ogos lalu dalam saingan Liga Super.
Dalam perlawanan itu, Iker hanya beraksi selama 33 minit sebelum digantikan dengan Afiq Fazail.
Tinjauan di laman Transfermarkt menunjukkan Iker mempunyai kontrak bersama JDT sehingga penghujung Mei 2026 namun berpisah lebih awal.