Terbuka Artik: Pearly-Thinaah Lolos Ke Pusingan 16, Bertemu Pasangan Baharu Indonesia
Hafiz Omar

Beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan berhasil meloloskan diri dengan mudah ke pusingan 16 di Terbuka Artik 2025.
Gandingan pemain berusia 25 dan 27 tahun masing-masing yang diletakkan selaku pilihan kedua bagi kejohanan mara selepas menundukkan pasangan Denmark, Natasja P. Anthonisen dan Amalie Cecilie Kudsk di pusingan 32, sebentar tadi.
Dalam pertarungan terbabit, Pearly-Thinaah mencetak kemenangan dengan bergaya, menang dua set berturut-turut, menerusi skor 21-13 dan 21-14 dalam masa 32 minit.
Kemenangan ke atas pasangan No.127 dunia itu membawanya bertemu pula dengan wakil Indonesia yang baru sahaja bergandingan sejak sekitar September lalu, Febriana Dwipuji Kusuma dan Meilysa Tria Puspitasari.
Untuk makluman, gandingan yang menduduki ranking ke-192 dunia itu mencetak kemaraan ke pusingan 16 secara automatik selepas mendapat “bye” di pusingan 32.
Sebagai rekod, Pearly-Thinaah menamatkan kempen Terbuka Artik edisi lalu selaku naib juara susulan tewas di tangan Liu Sheng Shu-Tan Ning dalam perlawanan akhir.
Featured Image: Perodua Malaysia Masters